August 29, 2011

ikhtiarkan usaha, usahakan ikhtiar


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance

Hidup dikelilingi masyarakat yang kaya raya ditambah gila-gila, sengaja saya minta pada Ayah untuk daftarkan saya di sekolah beraliran agama bagi memulakan kelas tingkatan satu. Kerana yakin hanya dengan agama saya boleh dibentuk jadi manusia, saya nekad dengan pilihan itu walau tak tahu apa yang bakal saya hadapi di sekolah tersebut. Setahun. dua tahun, tiga tahun, Alhamdulillah saya tak ada masalah mengadaptasi sistem pembelajaran sekolah aliran agama dan arab yang rata-rata setiap pelajarnya diwajibkan menggalas lebih kurang 20 mata pelajaran.
Tamat 5 tahun persekolahan, saya masih belum yakin pada diri yang saya mampu hidup sendiri tanpa dibantu persekitaran yang baik. Disebabkan itu juga, saya sudah pun berazam sejak di tingkatan satu lagi; bahawasanya, melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu adalah wajib!. Dan hari ini, siapa sangka yang dulunya angan-angan ini cuma hanya angan-angan, ia sudah pun berada dalam tangan. Wahai, Allah sahaja yang tahu betapa separuh matinya saya sewaktu dikhabarkan tentang ini. Gembira tak terluah. Andai kata ditakdirkan saya dicampakkan ke tempat-tempat lain yang tak sewaktu dengannya, risiko untuk tidak menjadi manusia mungkin tinggi.
Tak cukup dengan itu, Dia himpunkan manusia-manusia mulia disekeliling saya. Keluarga, sahabat-sahabat, guru-guru, kenalan. Setelah dilimpah dengan segala macam jenis kurnia, ditambah dengan aib-aib yang dilindung dari pandangan manusia, genap 20 tahun pun saya. Dan antara beraneka jenis kurnia yang kalau ditulis mustahil akan cukup kertas, apalah sangat makna hidup kita tanpa ISLAM di dalamnya.
Tapi sayang, kesintingan yang melanda kita-kita hari ini mampu membuatkan agama diletakkan di tangga terbawah. Bawah tapak kaki mungkin. Kalau dulu saya sanggup terbang ke Korea untuk bawa pulang Choi Siwon, tapi disaat dia mengumumkan yang ciri gadis idamannya mestilah beragama Kristian, luluh rasa. Tetapi setelah Al-Quran menyaksikan bahawa Allah memuliakan Islam dan sekalian ummatnya, tak mungkin dengan rasa luluh itu saya akan serah agama semata-mata untuk bersama dia kan? Luluh lagi rasa hati bila dapat tahu ada yang sanggup bergadai agama demi kekasih hati, demi sesuap nasi, Na'uzubillah.
Bantulah jiwa kita dan sekalian jiwa manusia untuk meletakkan kepentingan agama di lapisan tertinggi dan teratas. Tiada kerugian malah ketenangan yang dijamin. Kita tak punya banyak masa. Setelah kurang lebih 20 tahun berlalu, semoga kita berikhtiar lebih dan berusaha lebih.
Wallahua'lam.

No comments: