April 1, 2013

Tenanglah. Ia Guru Terbaik

Bismillahirrahmanirrahim



Yang hidup sehari-hari, berurusan sana-sini, itu jiwa kita. Harus kita tahu, dan bijak bagaimana seharusnya jiwa yang ragamnya berbagai itu diurus.


Mac. Bulan yang sangat rusuh bagi saya. Hambatannya terasa perit amat. Menghiris. Tapi kita tahu, bukan itu tujuannya Tuhan mengizinkan rusuh itu berlaku. Ia satu ujian, buat kita menapak lebih dekat denganNya. Lantas ia sepatutnya suatu yang sepatutnya disyukuri. Bukti Tuhan tidak pernah meninggalkan kita. Bahkan kitalah yang berbuat demikian. Bukti kita perlukan Tuhan tiap masa tiap ketika.


Dan di waktu-waktu begini, diam adalah cara terbaik untuk jiwa itu tak dibiar terus liar. Ya. Bagi saya, ia sepatutnya begitu. Diam adalah guru terbaik berbanding kita mencicip, berkicau, apatah lagi mengaum.


Tenanglah. Ia guru terbaik. Ketenangan menjanjikan jalan penyelesaian yang jauh lebih baik. Dengan ketenangan, kita akan terdengar perkara-perkara yang tidak kita dengar. Kita akan ternampak perkara-perkara yang tidak pernah kita nampak. Siapa tahu, beraksi dengan ketidaktenangan, akan menghancurkan kita.



Wallahua'lam.  

March 11, 2013

Asal Perbuatan

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance



Walaupun berbuat untuk manusia, biarlah kerana Allah. Manusia terlalu lemah untuk menghargai. 

Wallahua'lam

August 7, 2012

Zikir dan Doa

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance


Sedikit perkongsian daripada diskusi seorang sahabat bersama teman-temannya, suka untuk saya kongsi bersam. Semoga bermanfaat. 

Rujukan diskusi ialah kitab al-Azkar wa ad-Da'waat (Book of Invocation (zikir) and Supplication (doa) - Imam al-Ghazali ( Buku ke-9 Ihya' Ulumuddin) 

Mengenai zikir dan doa - Imam al-Ghazali bercerita dengan terperinci tentang makna di sebalik kedua-duanya.

Zikir bukan semata-mata aktiviti lisan atau perbuatan, tetapi juga aktiviti mental. Ada orang kelihatan berzikir namun hatinya tidak. 

Imam al-Ghazali menggariskan lima bentuk zikir: 
1. Man's mental or Spiritual activity - Bisikan syaitan akan mudah ditepis apabila diri rajin berzikir. 
2. Meditation on one own's death - Kebergantungan kepada perkara duniawi semakin berkurangan dan ia merangsang kita untuk menghasilkan sesuat untuk akhirat.
3. Apa yang disebut di lidah adalah apa yang ada di fikiran. Maknanya jiwa si penyebut adalah murni; dalam fikiran dan jiwanya baik, maka fikirannya juga baik. 
4. Familiarity with zikir - Zikir menjadi sesuatu yang bukan paksaan, seperti bernafas. Zikir bukan untuk ditunjuk-tunjuk dan zikir tidak dianggap sebagai sesuatu yang membebankan. 
5. Peringkat ini adalah sangat estetik( bersifat sentimental ) dan berkaitan dengan hal-hal seperti fana' dan lain-lain. Kerana nafsu dan bisikan syaitan, mengingati Tuhan tak akan jadi cenderung semula jadi tanpa latihan. Dengan latihan, ia akan jadi rutin. Amalan harian Imam al-Ghazali: doa, bacaan al-Quran, meditasi (renungan, fikir), zikir lisan. 

Doa. Mengapa doa dikatakan ibadah?

Selagi mana kita bergelar manusia, doa menjadi satu kewajipan ke atas kita. Doa adalah sebahagian daripada takdir Tuhan. 

Sekali lagi Imam al-Ghazali menggariskan peringkat-peringkat doa.
1. Doa juga menjadi sebab begaimana sesuatu perkara boleh berlaku - bukti bahawa kita ini memang lemah. Tidak berdoa ibarat seperti berasa dahaga tetapi tidak mahu minum air. Sekiranya kita tak mahu berusaha (berdoa) untuk menghilangkan dahaga dengan minum, maka dahaga tidak akan hilang. 
2. Doa menjadikan hamba seperti seorang anak dengan ibunya kepada Tuhan. Anak sangat bergantung kepada ibunya. Kebiasaan berdoa menjadikan kita bergantung kepada Tuhan dengan penuh secara langsung. Contohnya, anak kecil apabila menangis, sememangnya ibu yang akan memberinya susu. Bahkan dia tidak ragu-ragu bahawa ibunya lah yang akan memberi susu. Begitu juga sepatutnya kita dengan Allah. 
3. Doa adalah seolah-olah kita menjadi mayat, tidak ada kemampuan untuk melakukan apa-apa dan menyerahkan diri kepada orang yang memandikan mayat. Si pemandi mayat yang sangat arif tentang apa yang perlu dilakukan. Dan contoh lain, seorang ibu tahu apa keperluan anaknya tanpa perlu diingatkan. Tetapi peringkat ini ternyata jarang dan sangat sekejap, seumpama muka pucat kemudian berdarah semula. Hati yang kembali kepada Tuhan adalah hati yang penuh kerendahan. Seseorang tidak akan meminta melainkan dia sedar akan kelemahan dirinya. Ini adalah sikap yang sepatutnya ada pada seorang hamba (complete servanthood). Jika doa termakbul, ucap alhamdulillah. Jika tidak makbul juga ucap alhamdlillah 'ala kulli haal. Allah tahu segala yang terbaik. Sampai di satu tahap kita berdoa dengan tidak mementingkan doa itu akan termakbul atau tidak, tetapi sebaliknya yang penting adalah perbuatan doa itu. Imam al-Ghazali mengatakan manusia boleh berdoa untuk dapatkan yang terbaik. Contohnya, seseorang ingin berdoa agar mendapat jodoh yang terbaik, tetapi oleh sebab berasakan dirinya tidak baik, maka tidak jadi dia berdoa. Ini salah, kerana Allah Maha Pemurah dan Dia tahu siapa yang baik dan tidak dan pada siapa untuk diberikan. 

Berdoalah. Hatta makhluk paling hina pun Allah perkenankan permintaannya. Bukankah syaitan meminta agar dilanjutkan usianya ke hari kiamat bagi memperdaya seluruh anak Adam? Inikan kita yang sujud menyembahNya lima kali sehari.






wallahua'lam.


July 11, 2012

Orang Muda mungkin harus lebih budiman

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
             Salam to all those who seek His guidance


Pernah lihat orang sekolah bertingkat-tingkat tingginya tapi rendah taraf bahasa dan budinya? Saya yakin ramai dari kita pernah. Imam Asy-Safi'e pernah berkata bahawa ilmu fikah itu mesti dipelajari bersamanya ilmu tasawuf atau akhlaq. Tidak boleh memilih salah satu. Dikhuatiri ibadah yang dilakukan tidak terlaksana dengan sepenuh rasa kehambaan.

Kosong.
Gersang.

Bayangkan solat, puasa, yang kita lakukan sekadar hanya pemenat seluruh tubuh semata-mata tanpa merasa sedikit pun nikmat beribadah. Ya. Memang ibadah tidak tersempit di ruangan solat dan puasa sahaja. Saya bercakap tentang ibadah menuntut ilmu. 

Sepesan guru saya, ilmu datang dengan beberapa tanggungjawab. Antaranya hendaklah diajarkan ilmu yang dipelajarinya kepada orang lain dan berakhlaq sebagaimana orang berilmu patut berakhlaq. Jelas. Dua tiga hari ini saya sangat terganggu dngan beberapa lontaran idea beberapa orang kenalan di Facebook. Kebanyakan pendapat yang disuarakan mereka berbunyi kasar. Pendapat-pendapat yang diajukan sebenarnya mempunyai kemasan dan berpotensi sebagai pelerai masalah yang baik. Namun apabila ia disuarakan dengan ditambah rencah herdikan, ia kelihatan seperti seekor beruk menghadiahkan sekuntum mawar yang sudah terkoyak-koyak kelopak kepada pasangannya.

" ala biasalah, darah orang muda "   

Di suatu sudut, saya akui perkara itu. Tapi di suatu sudut lain, saya tak yakin adakah ia cukup teguh untuk dijadikan alasan menjerkah sana sini. Entah. Disebabkan hal ini juga, saya jadi perenung tutur bicara para asatizah yang mengajar saya sepanjang tempoh persekolahan, yang umum dikenali di Malaysia mahupun antarabangsa. Payah sungguh rasanya untuk kita temukan hatta sebutir perkataan cabul dari mulut mereka.

" diorang ni tak faham bahasa. tak makan saman kalau cakap baik-baik

Terbitkan lah apa sahaja alasan. Saya tetap yakin bahasa yang kesat, pekat dan kelat bukan alat terbaik menyalurkan ilmu. Apatah lagi ia wacana membina manusia. 



Luas samudera direnang-renang
Tidaklah ombak datang melingkar
Ilmu cuma setampuk pinang
Mengapa berlagak jadi pendekar




wallahua'lam

March 28, 2012

alasan untuk terus hidup

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
                                                   Salam to all those who seek His guidance





" Kau rindu aku tak?"


Satu pesanan ringkas diterima daripada kakak

"Jarang-jarang. Tapi kat budak-budak tu selalu"

"Maknanya rindu jugak la kan? Hehe. Balik la. Aku buat kek coklat untuk kau ni."

"Minggu ni tak boleh. Dua minggu lagi boleh kot insyaAllah."

Kakak memang begitu. Suka meladeni adik-adiknya. Tapi entah, saya rindu sangat dengan ketiga-tiga orang adik yang ayah hantar belajar di Johor. Lewat usia 20 an ni, saya terketuk untuk membetuldudukkan segala perkara dalam keluarga kecil saya. Sebenarnya sudah lama terfikirkan hal ini cuma tak bertindak dan saya kurang pasti bila titik tolaknya. Sehingga pada suatu hari, apabila guru saya mengingatkan betapa di akhir zaman ini amat payah untuk hidup dengan baik di tengah-tengah dunia yang gila, dan cara yang terpaling mampu untuk kita lakukan ialah dengan menjaga setiap perilaku ahli keluarga, saya jadi semakin tekad. Tekad untuk tidak lagi melantakkan dan buat tak tahu dengan hal ehwal kakak dan adik-adik. Saya tidak mahu mereka jadi seperti saya. Terutama adik-adik. Terlalu lambat menyedari banyak perkara dalam hidup. Walhal, pelbagai bentuk jati diri boleh dibina dari umur belasan tahun lagi. Dan sekarang, saya punyai satu lagi alasan untuk terus hidup; menjauhkan ahli keluarga dari bakaran api neraka dan berkumpul di syurga tanpa tertinggal walau seorang.InsyaAllah.

Beberapa hari selepas menerima pesanan ringkas kakak, saya terdengar iklan program cuti sekolah di corong radio. Hah!! Tak perasan cuti sekolah dah mula. Mesti budak-budak tu dah selamat melepak di rumah. Terus saya menelefon umi. Katanya sedang makan-makan di luar. Wah.. perbualan tak lama. Tak mahu ganggu mereka bersantap. Satu pesanan ringkas saya kirimkan kepada umi. “ Umi, esok makan la kat sini pulak. Bawak budak-budak tu sekali T_T”. Dan umi setuju tanpa banyak komprominya. Ahai ~~ Bahagia tak terkata.
 
Seperasan saya, adik-adik sangat berubah sejak masing-masing jauh dari keluarga. Zafirah Nuha. Saya jadi kagum dengan kematangannya yang berbeza dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Dan kematangan itu terlihat sejak dari zaman sekolah rendah lagi. Dia ada dirinya yang tersendiri. Bijak mengurus hidup DENGAN BAIK. Bila dapat tahu keputusan SPM beliau beberapa hari lalu, membuak-buak bangga saya punyai dia sebagai adik. Pencapaiannya seimbang dunia akhirat. Slumber dia. Rockers dia. Sangat menawan.

Muhammad Zaidulkhair. Adik ini paling ketara berubah. Dulu, kalau bukan saya yang tolong lipatkan kain serbannya, lilitannya di kepala akan jadi sememeh. Sekarang, uruskan serban sehelai pun makan masa sejam. Bila kelihatan kelibat para Shuyukh dan Imam-imam di kaca tv (Al-Hijrah), pantas dia akan utarakan ulasan. Ha, kalau lilitan sebegini, berapa meter kain digunakan. Kalau lilitan begini, bagaimana ia digayakan. Macam-macam lagi. Jangan kan kain serban, kain pelekat pun saya yang tolong pakaikan dulu. Senget kah, terjungkit kah, apa dia kesah. Sekarang, semua mau serba serbi. Ketajaman sisi baju yang digosok, boleh melukakan jari gamaknya. Alunan azannya pun, dulu serupa dengan radio rosak. Sekarang dah pandai berlagu dan berlagak lagi dengan saya. Pakej. Dulu memang selalu perli dia azan pun. " sumbang la weh " -_-" Dan yang paling mengejutkan, baru-baru ini apabila dia cerita dengan saya yang dia memipin solat jemaah pelajar-pelajar asrama yang jumlahnya hampir empat ratus orang di surau sekolah. Bagi saya, ini salah satu pencapaian terbaik beliau. Zaid yang selalu saya perlekehkan selama ini, sedang membesar rupanya. Semangat belajar pun semakin membuak. Tak sabar nak jumpa!!



Zafirah 'Izzah. Mulanya saya kurang yakin dengan kemampuan mandirinya. Tapi umi tetap mahu hantar dia ke sekolah berasrama mulai tingkatan satu. Sudahnya, kan dah rindu selalu. Masakan tidak, adik ini yang paling rajin berkongsi cerita, apa saja yang berlaku dalam hidupnya. Perasaannya matang. Tak perlu kita jelaskan yang kita sedih atau bahagia pun, dia sudah sangat mampu memahami orang dengan baik. Malah mampu menangis apabila lihat orang lain menangis. Kebelakangan ini, seronok rasanya tengok dia berbedak, berminyak wangi, berdandan. Dah besar adik aku.

Usai solat, sungguh-sungguh saya mohon agar dikentalkan jati diri adik-adik. Menghasilkan seorang lagi Al-Fateh bukannya mudah.
Tuhan, betapa sepatutnya bersyukurnya aku punyai hidup seindah ini.



wallahua'lam.