July 11, 2012

Orang Muda mungkin harus lebih budiman

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
             Salam to all those who seek His guidance


Pernah lihat orang sekolah bertingkat-tingkat tingginya tapi rendah taraf bahasa dan budinya? Saya yakin ramai dari kita pernah. Imam Asy-Safi'e pernah berkata bahawa ilmu fikah itu mesti dipelajari bersamanya ilmu tasawuf atau akhlaq. Tidak boleh memilih salah satu. Dikhuatiri ibadah yang dilakukan tidak terlaksana dengan sepenuh rasa kehambaan.

Kosong.
Gersang.

Bayangkan solat, puasa, yang kita lakukan sekadar hanya pemenat seluruh tubuh semata-mata tanpa merasa sedikit pun nikmat beribadah. Ya. Memang ibadah tidak tersempit di ruangan solat dan puasa sahaja. Saya bercakap tentang ibadah menuntut ilmu. 

Sepesan guru saya, ilmu datang dengan beberapa tanggungjawab. Antaranya hendaklah diajarkan ilmu yang dipelajarinya kepada orang lain dan berakhlaq sebagaimana orang berilmu patut berakhlaq. Jelas. Dua tiga hari ini saya sangat terganggu dngan beberapa lontaran idea beberapa orang kenalan di Facebook. Kebanyakan pendapat yang disuarakan mereka berbunyi kasar. Pendapat-pendapat yang diajukan sebenarnya mempunyai kemasan dan berpotensi sebagai pelerai masalah yang baik. Namun apabila ia disuarakan dengan ditambah rencah herdikan, ia kelihatan seperti seekor beruk menghadiahkan sekuntum mawar yang sudah terkoyak-koyak kelopak kepada pasangannya.

" ala biasalah, darah orang muda "   

Di suatu sudut, saya akui perkara itu. Tapi di suatu sudut lain, saya tak yakin adakah ia cukup teguh untuk dijadikan alasan menjerkah sana sini. Entah. Disebabkan hal ini juga, saya jadi perenung tutur bicara para asatizah yang mengajar saya sepanjang tempoh persekolahan, yang umum dikenali di Malaysia mahupun antarabangsa. Payah sungguh rasanya untuk kita temukan hatta sebutir perkataan cabul dari mulut mereka.

" diorang ni tak faham bahasa. tak makan saman kalau cakap baik-baik

Terbitkan lah apa sahaja alasan. Saya tetap yakin bahasa yang kesat, pekat dan kelat bukan alat terbaik menyalurkan ilmu. Apatah lagi ia wacana membina manusia. 



Luas samudera direnang-renang
Tidaklah ombak datang melingkar
Ilmu cuma setampuk pinang
Mengapa berlagak jadi pendekar




wallahua'lam

No comments: