April 1, 2013

Tenanglah. Ia Guru Terbaik

Bismillahirrahmanirrahim



Yang hidup sehari-hari, berurusan sana-sini, itu jiwa kita. Harus kita tahu, dan bijak bagaimana seharusnya jiwa yang ragamnya berbagai itu diurus.


Mac. Bulan yang sangat rusuh bagi saya. Hambatannya terasa perit amat. Menghiris. Tapi kita tahu, bukan itu tujuannya Tuhan mengizinkan rusuh itu berlaku. Ia satu ujian, buat kita menapak lebih dekat denganNya. Lantas ia sepatutnya suatu yang sepatutnya disyukuri. Bukti Tuhan tidak pernah meninggalkan kita. Bahkan kitalah yang berbuat demikian. Bukti kita perlukan Tuhan tiap masa tiap ketika.


Dan di waktu-waktu begini, diam adalah cara terbaik untuk jiwa itu tak dibiar terus liar. Ya. Bagi saya, ia sepatutnya begitu. Diam adalah guru terbaik berbanding kita mencicip, berkicau, apatah lagi mengaum.


Tenanglah. Ia guru terbaik. Ketenangan menjanjikan jalan penyelesaian yang jauh lebih baik. Dengan ketenangan, kita akan terdengar perkara-perkara yang tidak kita dengar. Kita akan ternampak perkara-perkara yang tidak pernah kita nampak. Siapa tahu, beraksi dengan ketidaktenangan, akan menghancurkan kita.



Wallahua'lam.  

March 11, 2013

Asal Perbuatan

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance



Walaupun berbuat untuk manusia, biarlah kerana Allah. Manusia terlalu lemah untuk menghargai. 

Wallahua'lam

August 7, 2012

Zikir dan Doa

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance


Sedikit perkongsian daripada diskusi seorang sahabat bersama teman-temannya, suka untuk saya kongsi bersam. Semoga bermanfaat. 

Rujukan diskusi ialah kitab al-Azkar wa ad-Da'waat (Book of Invocation (zikir) and Supplication (doa) - Imam al-Ghazali ( Buku ke-9 Ihya' Ulumuddin) 

Mengenai zikir dan doa - Imam al-Ghazali bercerita dengan terperinci tentang makna di sebalik kedua-duanya.

Zikir bukan semata-mata aktiviti lisan atau perbuatan, tetapi juga aktiviti mental. Ada orang kelihatan berzikir namun hatinya tidak. 

Imam al-Ghazali menggariskan lima bentuk zikir: 
1. Man's mental or Spiritual activity - Bisikan syaitan akan mudah ditepis apabila diri rajin berzikir. 
2. Meditation on one own's death - Kebergantungan kepada perkara duniawi semakin berkurangan dan ia merangsang kita untuk menghasilkan sesuat untuk akhirat.
3. Apa yang disebut di lidah adalah apa yang ada di fikiran. Maknanya jiwa si penyebut adalah murni; dalam fikiran dan jiwanya baik, maka fikirannya juga baik. 
4. Familiarity with zikir - Zikir menjadi sesuatu yang bukan paksaan, seperti bernafas. Zikir bukan untuk ditunjuk-tunjuk dan zikir tidak dianggap sebagai sesuatu yang membebankan. 
5. Peringkat ini adalah sangat estetik( bersifat sentimental ) dan berkaitan dengan hal-hal seperti fana' dan lain-lain. Kerana nafsu dan bisikan syaitan, mengingati Tuhan tak akan jadi cenderung semula jadi tanpa latihan. Dengan latihan, ia akan jadi rutin. Amalan harian Imam al-Ghazali: doa, bacaan al-Quran, meditasi (renungan, fikir), zikir lisan. 

Doa. Mengapa doa dikatakan ibadah?

Selagi mana kita bergelar manusia, doa menjadi satu kewajipan ke atas kita. Doa adalah sebahagian daripada takdir Tuhan. 

Sekali lagi Imam al-Ghazali menggariskan peringkat-peringkat doa.
1. Doa juga menjadi sebab begaimana sesuatu perkara boleh berlaku - bukti bahawa kita ini memang lemah. Tidak berdoa ibarat seperti berasa dahaga tetapi tidak mahu minum air. Sekiranya kita tak mahu berusaha (berdoa) untuk menghilangkan dahaga dengan minum, maka dahaga tidak akan hilang. 
2. Doa menjadikan hamba seperti seorang anak dengan ibunya kepada Tuhan. Anak sangat bergantung kepada ibunya. Kebiasaan berdoa menjadikan kita bergantung kepada Tuhan dengan penuh secara langsung. Contohnya, anak kecil apabila menangis, sememangnya ibu yang akan memberinya susu. Bahkan dia tidak ragu-ragu bahawa ibunya lah yang akan memberi susu. Begitu juga sepatutnya kita dengan Allah. 
3. Doa adalah seolah-olah kita menjadi mayat, tidak ada kemampuan untuk melakukan apa-apa dan menyerahkan diri kepada orang yang memandikan mayat. Si pemandi mayat yang sangat arif tentang apa yang perlu dilakukan. Dan contoh lain, seorang ibu tahu apa keperluan anaknya tanpa perlu diingatkan. Tetapi peringkat ini ternyata jarang dan sangat sekejap, seumpama muka pucat kemudian berdarah semula. Hati yang kembali kepada Tuhan adalah hati yang penuh kerendahan. Seseorang tidak akan meminta melainkan dia sedar akan kelemahan dirinya. Ini adalah sikap yang sepatutnya ada pada seorang hamba (complete servanthood). Jika doa termakbul, ucap alhamdulillah. Jika tidak makbul juga ucap alhamdlillah 'ala kulli haal. Allah tahu segala yang terbaik. Sampai di satu tahap kita berdoa dengan tidak mementingkan doa itu akan termakbul atau tidak, tetapi sebaliknya yang penting adalah perbuatan doa itu. Imam al-Ghazali mengatakan manusia boleh berdoa untuk dapatkan yang terbaik. Contohnya, seseorang ingin berdoa agar mendapat jodoh yang terbaik, tetapi oleh sebab berasakan dirinya tidak baik, maka tidak jadi dia berdoa. Ini salah, kerana Allah Maha Pemurah dan Dia tahu siapa yang baik dan tidak dan pada siapa untuk diberikan. 

Berdoalah. Hatta makhluk paling hina pun Allah perkenankan permintaannya. Bukankah syaitan meminta agar dilanjutkan usianya ke hari kiamat bagi memperdaya seluruh anak Adam? Inikan kita yang sujud menyembahNya lima kali sehari.






wallahua'lam.


July 11, 2012

Orang Muda mungkin harus lebih budiman

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
             Salam to all those who seek His guidance


Pernah lihat orang sekolah bertingkat-tingkat tingginya tapi rendah taraf bahasa dan budinya? Saya yakin ramai dari kita pernah. Imam Asy-Safi'e pernah berkata bahawa ilmu fikah itu mesti dipelajari bersamanya ilmu tasawuf atau akhlaq. Tidak boleh memilih salah satu. Dikhuatiri ibadah yang dilakukan tidak terlaksana dengan sepenuh rasa kehambaan.

Kosong.
Gersang.

Bayangkan solat, puasa, yang kita lakukan sekadar hanya pemenat seluruh tubuh semata-mata tanpa merasa sedikit pun nikmat beribadah. Ya. Memang ibadah tidak tersempit di ruangan solat dan puasa sahaja. Saya bercakap tentang ibadah menuntut ilmu. 

Sepesan guru saya, ilmu datang dengan beberapa tanggungjawab. Antaranya hendaklah diajarkan ilmu yang dipelajarinya kepada orang lain dan berakhlaq sebagaimana orang berilmu patut berakhlaq. Jelas. Dua tiga hari ini saya sangat terganggu dngan beberapa lontaran idea beberapa orang kenalan di Facebook. Kebanyakan pendapat yang disuarakan mereka berbunyi kasar. Pendapat-pendapat yang diajukan sebenarnya mempunyai kemasan dan berpotensi sebagai pelerai masalah yang baik. Namun apabila ia disuarakan dengan ditambah rencah herdikan, ia kelihatan seperti seekor beruk menghadiahkan sekuntum mawar yang sudah terkoyak-koyak kelopak kepada pasangannya.

" ala biasalah, darah orang muda "   

Di suatu sudut, saya akui perkara itu. Tapi di suatu sudut lain, saya tak yakin adakah ia cukup teguh untuk dijadikan alasan menjerkah sana sini. Entah. Disebabkan hal ini juga, saya jadi perenung tutur bicara para asatizah yang mengajar saya sepanjang tempoh persekolahan, yang umum dikenali di Malaysia mahupun antarabangsa. Payah sungguh rasanya untuk kita temukan hatta sebutir perkataan cabul dari mulut mereka.

" diorang ni tak faham bahasa. tak makan saman kalau cakap baik-baik

Terbitkan lah apa sahaja alasan. Saya tetap yakin bahasa yang kesat, pekat dan kelat bukan alat terbaik menyalurkan ilmu. Apatah lagi ia wacana membina manusia. 



Luas samudera direnang-renang
Tidaklah ombak datang melingkar
Ilmu cuma setampuk pinang
Mengapa berlagak jadi pendekar




wallahua'lam

March 28, 2012

alasan untuk terus hidup

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
                                                   Salam to all those who seek His guidance





" Kau rindu aku tak?"


Satu pesanan ringkas diterima daripada kakak

"Jarang-jarang. Tapi kat budak-budak tu selalu"

"Maknanya rindu jugak la kan? Hehe. Balik la. Aku buat kek coklat untuk kau ni."

"Minggu ni tak boleh. Dua minggu lagi boleh kot insyaAllah."

Kakak memang begitu. Suka meladeni adik-adiknya. Tapi entah, saya rindu sangat dengan ketiga-tiga orang adik yang ayah hantar belajar di Johor. Lewat usia 20 an ni, saya terketuk untuk membetuldudukkan segala perkara dalam keluarga kecil saya. Sebenarnya sudah lama terfikirkan hal ini cuma tak bertindak dan saya kurang pasti bila titik tolaknya. Sehingga pada suatu hari, apabila guru saya mengingatkan betapa di akhir zaman ini amat payah untuk hidup dengan baik di tengah-tengah dunia yang gila, dan cara yang terpaling mampu untuk kita lakukan ialah dengan menjaga setiap perilaku ahli keluarga, saya jadi semakin tekad. Tekad untuk tidak lagi melantakkan dan buat tak tahu dengan hal ehwal kakak dan adik-adik. Saya tidak mahu mereka jadi seperti saya. Terutama adik-adik. Terlalu lambat menyedari banyak perkara dalam hidup. Walhal, pelbagai bentuk jati diri boleh dibina dari umur belasan tahun lagi. Dan sekarang, saya punyai satu lagi alasan untuk terus hidup; menjauhkan ahli keluarga dari bakaran api neraka dan berkumpul di syurga tanpa tertinggal walau seorang.InsyaAllah.

Beberapa hari selepas menerima pesanan ringkas kakak, saya terdengar iklan program cuti sekolah di corong radio. Hah!! Tak perasan cuti sekolah dah mula. Mesti budak-budak tu dah selamat melepak di rumah. Terus saya menelefon umi. Katanya sedang makan-makan di luar. Wah.. perbualan tak lama. Tak mahu ganggu mereka bersantap. Satu pesanan ringkas saya kirimkan kepada umi. “ Umi, esok makan la kat sini pulak. Bawak budak-budak tu sekali T_T”. Dan umi setuju tanpa banyak komprominya. Ahai ~~ Bahagia tak terkata.
 
Seperasan saya, adik-adik sangat berubah sejak masing-masing jauh dari keluarga. Zafirah Nuha. Saya jadi kagum dengan kematangannya yang berbeza dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Dan kematangan itu terlihat sejak dari zaman sekolah rendah lagi. Dia ada dirinya yang tersendiri. Bijak mengurus hidup DENGAN BAIK. Bila dapat tahu keputusan SPM beliau beberapa hari lalu, membuak-buak bangga saya punyai dia sebagai adik. Pencapaiannya seimbang dunia akhirat. Slumber dia. Rockers dia. Sangat menawan.

Muhammad Zaidulkhair. Adik ini paling ketara berubah. Dulu, kalau bukan saya yang tolong lipatkan kain serbannya, lilitannya di kepala akan jadi sememeh. Sekarang, uruskan serban sehelai pun makan masa sejam. Bila kelihatan kelibat para Shuyukh dan Imam-imam di kaca tv (Al-Hijrah), pantas dia akan utarakan ulasan. Ha, kalau lilitan sebegini, berapa meter kain digunakan. Kalau lilitan begini, bagaimana ia digayakan. Macam-macam lagi. Jangan kan kain serban, kain pelekat pun saya yang tolong pakaikan dulu. Senget kah, terjungkit kah, apa dia kesah. Sekarang, semua mau serba serbi. Ketajaman sisi baju yang digosok, boleh melukakan jari gamaknya. Alunan azannya pun, dulu serupa dengan radio rosak. Sekarang dah pandai berlagu dan berlagak lagi dengan saya. Pakej. Dulu memang selalu perli dia azan pun. " sumbang la weh " -_-" Dan yang paling mengejutkan, baru-baru ini apabila dia cerita dengan saya yang dia memipin solat jemaah pelajar-pelajar asrama yang jumlahnya hampir empat ratus orang di surau sekolah. Bagi saya, ini salah satu pencapaian terbaik beliau. Zaid yang selalu saya perlekehkan selama ini, sedang membesar rupanya. Semangat belajar pun semakin membuak. Tak sabar nak jumpa!!



Zafirah 'Izzah. Mulanya saya kurang yakin dengan kemampuan mandirinya. Tapi umi tetap mahu hantar dia ke sekolah berasrama mulai tingkatan satu. Sudahnya, kan dah rindu selalu. Masakan tidak, adik ini yang paling rajin berkongsi cerita, apa saja yang berlaku dalam hidupnya. Perasaannya matang. Tak perlu kita jelaskan yang kita sedih atau bahagia pun, dia sudah sangat mampu memahami orang dengan baik. Malah mampu menangis apabila lihat orang lain menangis. Kebelakangan ini, seronok rasanya tengok dia berbedak, berminyak wangi, berdandan. Dah besar adik aku.

Usai solat, sungguh-sungguh saya mohon agar dikentalkan jati diri adik-adik. Menghasilkan seorang lagi Al-Fateh bukannya mudah.
Tuhan, betapa sepatutnya bersyukurnya aku punyai hidup seindah ini.



wallahua'lam.

February 2, 2012

mengawal perkara yang di dalam kawalan

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance


Hari ini kita hidup dalam masyarakat yang pantang tertinggal beg duit 29 saat, sekembalinya kita nanti ia sudah pun lesap. Penuh curiga. Masyarakat yang pantang lemah pencapaian akademik, lalu menawarkan diri menjadi ' penghibur ' di kaca televisyen. Kejar dunia. Nilai-nilai ini amat songsang dengan saranan Islam.

Pesan guru saya, sampai suatu hari nanti, kita akan tak mampu lagi untuk membendung kegilaan dunia. Maka saat itu, bahkan saat ini juga sepatutnya, kembalilah berpegang kepada seruan Tuhan agar menjaga rapi kerabat keluarga kita sendiri dari bakaran api neraka.
'Ya aiyuhallazina amanu qu anfusakum wa-ahlikum nara'.
(Surah At-Tahreem:6)
Hanya mereka sahaja yang paling hampir dengan capaian tangan kita yang dua ini.

Dan ia bukan hanya tugas seorang ketua keluarga semata. Tugas itu selayaknya disandang oleh ibu, kakak, abang malah siapa saja yang berdiri dalam sebuah keluarga.



wallahua'lam

October 16, 2011

berdoalah

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah

Salam to all those who seek His guidance











semoga sekalian manusia tahu, doa dengan dalam itu mampu mengutuhkan dari dalam. Mampu juga meneguhkan yang di luarnya. Yang menenangkan gelora taufan, di saat tiada apa lagi di dunia ini yang mampu diharapkan.











wallahua'lam

October 5, 2011

didoakan ikan

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance



Dulu, sewaktu di tingkatan 5, saya kerap menangis ketika membuat latihan subjek Matematik Tambahan. Pertama, sebab setiap kali tak dapat selesaikan soalan dengan baik, saya akan teringat umi secara automatik. Masakan tidak, beliau tok guru matapelajaran ini selama hampir 20 tahun mengajar. " Aaargh umi, toloong. Kenapa aku bodoh sangat ni!!"

Bersekolah jauh dari rumah dan dapat peluang berjumpa untuk minta tunjuk ajar hanya 2 atau 3 bulan sekali, tak banyak yang saya dapat tuntut dari beliau.

Belajar di sekolah yang agak ketinggalan dalam prestasi akademiknya, buat saya rasa perlu usaha berganda. Tanpa bergantung penuh pada cikgu-cikgu.

Kedua, itu tahun akhir saya di sekolah. Tahun peperiksaan 'agung' bagi semua calon SPM. Tahun penentu kita akan ke mana dengan natijah yang tak tahu apa rupa.

Hampir dengan tarikh peperiksaan kertas Matematik Tambahan, saya sempat beruzlah bertemankan umi di kampung. Tanpa makan seharian. Fokus!
"umi dah cakap, jangan ambik subjek dulu lagi. Kau degil!" Hahah, sempat lagi dia nak menyembur. Tapi sikit pun saya tak rasa menyesal dengan keperitan yang ditanggung akibat berani-berani memilih subjek ini sebagai salah satu subjek tambahan. Kita belajar bukan untuk memenuhi tuntutan pasaran kan? Apatah lagi hanya untuk sekeping sijil.

Namun Alhamdulillah, walau keputusan untuk subjek ini tak lah boleh dibanggakan sangat, tapi ia lebih dari apa yang saya jangka. Suka macam nak tayang gigi seharian je.

Tadi, sedang khusyu' saya memahamkan apa yang sedang ustaz cuba sampaikan tentang pelbagai pendapat Imam-Imam mazhab mengenai hukum 'akad dengan perbuatan, terdengar keluhan sahabat di kerusi sebelah. " Eee apa sebenarnya kita tengah belajar ni. Tak faham laaah!"

Antara kekhusyukan malampau kepada butir-butir penjelasan dari ustaz dan keluhan dari sahabat yang kira-kira memerlukan bantuan, saya cuba untuk fokus terlebih dahulu. Niat di hati mahu bantu terangkan bila ustaz berhenti bercakap nanti. Tapi hajat tak kesampaian. Dia sudahpun letakkan pen. Ambil hujung kain tudung, lap air mata. " Ah sudaah"





Tak mahu bersuara melawan arus suara ustaz, saya kirimkan contengan di kaki buku nota saya 'Sekarang kita tengah bincang apa hukum 'akad dengan hanya perbuatan. Bukan secara lisan'

" ooo, Ya Allah. Terima kasih terima kasih. Baru faham"
Alhamdulillah. Mungkin apa yang dia rasa sama dengan apa yang saya rasa lama dahulu. Tertekan tak faham. Rasa nak undur diri. Kenapa aku blur sangat ni. Serabut.

Aaah, rasa nak peluk dia erat-erat waktu tu. " I'M HERE!!"

Menuntut ilmu, begitulah. Dugaannya tak terkata. Menjadi pewaris harta para Anbiya' yang boleh rosak kalkulator kalau dikira. Terlalu banyak. Terlalu bernilai. Masakan ikan-ikan di laut dan seluruh barisan malaikat sudi mendoakan pencari-pencari ilmu di serata muka bumi. Sanggup redah apa saja hanya untuk ilmu. Ilmu yang dijanjikan dengannya kita akan lebih kenal Tuhan. Lebih dekat dengan Allah. Mudah-mudahan. Ameen.








wallahua'lam.

October 3, 2011

pesan abang

Asyhadu an Laa Ilaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah

Salam to all those who seek His guidance





selang sebulan selepas majlis pertunangan berlangsung, si abang berpesan tulus kepada adiknya



" dik, aku tengok ibadah kau belum konsisten lagi. Kau bukannya banyak masa pun. Dua bulan lagi dah nak jadi laki orang. Hati-hati."







Mengkonsitenkan ibadah seharian bukan lah hanya tugas bakal-bakal ketua keluarga sahaja, ia sepatutnya dijiwai oleh seluruh pemimpin juga-saya kira. Meneraju sebuah atau dua buah atau tiga buah organisasi sekali gus bukan perkara mudah kalau rohani goyah. Disiplin puasa, disiplin mengangkat selimut di subuh hari, disiplin membaca Al-Quran, zikir dan berbagai lagi amalan rohani mesti dititikberatkan oleh setiap individu. Ini sumber kekuatan. Pecutan kelajuan angin taufan dan ribut dalam kepimpinan tak terjangka sama sekali. Kalau tak mampu kuat, dengan mudah saja dihuyung hayangkan. Walau bukan pemimpin rasmi sekali pun, kita kan memimpin diri sendiri hari-hari. Tak dinafikan jatuh tergolek-golek itu juga perkara biasa. Tapi, jadilah apa pun, kita tetap kena bangkit berdiri tegak semula. Kuat individu, kuatlah bangsanya. Mudah-mudahan juga negaranya. Semoga kita dipinjamkan sedikit kekuatan dari Yang Maha Kuat jua.




Pesan buat diri











Wallahua'lam

September 16, 2011

ini bukan merdeka


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance


" Ah orang perempuan, asal datang bulan je, merdeka lah dia"

saya dengar ini dengan sepasang telinga sendiri. Berkata tanpa merasa duduk perkara sebenar memang biasanya akan diterjemahkan dalam bentuk begitu. Tak mengapa, anda tak bersalah. Penciptaan yang nyata berbeza dari pelbagai sudut antara lelaki dan wanita, pasti Allah sertakan kekurangan-kekurangan dan kelebihan-kelebihan yang berbeza juga. Andai kekuatan seorang lelaki diletakkan pada tubuh fizikalnya, kekuatan seorang wanita ada pada emosinya. Kerana itulah mengandung 9 bulan dan melahirkan ditaklifkan ke atas wanita. Kekuatan luar biasa.

Terlepas daripada tuntutan mendirikan solat selama kurang lebih 7 atau 8 hari bukanlah satu kemerdekaan buat kami. Apatah lagi untuk berasa "yes, hari ni tak payah sembahyang!". Ketahuilah bagi yang tidak merasa, tempoh seminggu lebih ini adalah tempoh kerinduan dan cemburu paling dalam untuk ditempuh. Cemburu lihat orang solat, rindu mahu baca Al-Quran. Tak dinafikan bahawa rohani masih boleh disantuni dengan bait-bait zikir di bibir juga di hati. Tetapi, masakan sama bertaqdis,bertahmid, bertakbir, dan bertahlil dengan berdiri tegak dan sujud penuh rasa hamba?



Itu baru di sisi keadaan-keadaan yang normal. Bayangkan pula bagaimana kehidupan para ibu yang berpantang selepas melahirkan selama 40 hari tanpa solat di dalamnya. Ah! Sungguh tak betahnya hidup begitu. Mujur ada sistem selawat dan zikir yang Allah jadikan karomahnya mampu menenangkan hati-hati sekalian manusia.

Solat adalah satu bentuk pengabdian paling tinggi dalam hidup seorang hamba. Apatah lagi kalau ia didirikan dengan kesedaran yang luar biasa. Diluarnya, kita tak kan berasa hairan melihat adanya manusia yang hatinya dipenuhi kasih yang luar biasa pada manusia, pada alam. Kerana awal-awal lagi ia sudah dibentuk dalam perkara paling asas, punca segala gerak geri ; solat.

Hidup dengan Taqwa sebagai pakaian mungkin sedikit payah bagi sebahagian kelompok manusia. Lebih-lebih lagi untuk berdiri di atas garisan perintah-perintah Allah yang semacam tidak sehaluan dengan citarasa diri. Kita mungkin saja tergolong dalam kelompok ini. Nau'zubillah. 'Ala kulli hal, saya yakin dengan iltizamnya kita mahu meluruskan solat, mudah-mudahan akan luruslah juga segala urusan-urusan dunia dan akhirat kita.




wallahua'lam.


September 12, 2011

hiduplah hidup

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance



Berbaur rasa timbul di dalam hati melihat manusia yang tak tahu ingin berbuat apa. Mendengar manusia mengeluh " ah bosannya'.

hidup tidaklah sesukar mana jika jelas ke mana tujunya. Biar roda hidup kita berputar ke jalan yang pasti kebenarannya. Bagaimana mahu pasti ia benar, lihat bagaimana keselarasannya dengan kehendak Tuhan Penguasa Segala. Di atas atau dibawah roda hidup itu bukanlah persoalan yang besar. Tetapi, di jalan mana roda itu berputar.

Semoga kita tergolong dalam kumpulan manusia yang bertujuan dalam menggerakkan hidupnya.




wallahua'lam.

August 29, 2011

ikhtiarkan usaha, usahakan ikhtiar


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance

Hidup dikelilingi masyarakat yang kaya raya ditambah gila-gila, sengaja saya minta pada Ayah untuk daftarkan saya di sekolah beraliran agama bagi memulakan kelas tingkatan satu. Kerana yakin hanya dengan agama saya boleh dibentuk jadi manusia, saya nekad dengan pilihan itu walau tak tahu apa yang bakal saya hadapi di sekolah tersebut. Setahun. dua tahun, tiga tahun, Alhamdulillah saya tak ada masalah mengadaptasi sistem pembelajaran sekolah aliran agama dan arab yang rata-rata setiap pelajarnya diwajibkan menggalas lebih kurang 20 mata pelajaran.
Tamat 5 tahun persekolahan, saya masih belum yakin pada diri yang saya mampu hidup sendiri tanpa dibantu persekitaran yang baik. Disebabkan itu juga, saya sudah pun berazam sejak di tingkatan satu lagi; bahawasanya, melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu adalah wajib!. Dan hari ini, siapa sangka yang dulunya angan-angan ini cuma hanya angan-angan, ia sudah pun berada dalam tangan. Wahai, Allah sahaja yang tahu betapa separuh matinya saya sewaktu dikhabarkan tentang ini. Gembira tak terluah. Andai kata ditakdirkan saya dicampakkan ke tempat-tempat lain yang tak sewaktu dengannya, risiko untuk tidak menjadi manusia mungkin tinggi.
Tak cukup dengan itu, Dia himpunkan manusia-manusia mulia disekeliling saya. Keluarga, sahabat-sahabat, guru-guru, kenalan. Setelah dilimpah dengan segala macam jenis kurnia, ditambah dengan aib-aib yang dilindung dari pandangan manusia, genap 20 tahun pun saya. Dan antara beraneka jenis kurnia yang kalau ditulis mustahil akan cukup kertas, apalah sangat makna hidup kita tanpa ISLAM di dalamnya.
Tapi sayang, kesintingan yang melanda kita-kita hari ini mampu membuatkan agama diletakkan di tangga terbawah. Bawah tapak kaki mungkin. Kalau dulu saya sanggup terbang ke Korea untuk bawa pulang Choi Siwon, tapi disaat dia mengumumkan yang ciri gadis idamannya mestilah beragama Kristian, luluh rasa. Tetapi setelah Al-Quran menyaksikan bahawa Allah memuliakan Islam dan sekalian ummatnya, tak mungkin dengan rasa luluh itu saya akan serah agama semata-mata untuk bersama dia kan? Luluh lagi rasa hati bila dapat tahu ada yang sanggup bergadai agama demi kekasih hati, demi sesuap nasi, Na'uzubillah.
Bantulah jiwa kita dan sekalian jiwa manusia untuk meletakkan kepentingan agama di lapisan tertinggi dan teratas. Tiada kerugian malah ketenangan yang dijamin. Kita tak punya banyak masa. Setelah kurang lebih 20 tahun berlalu, semoga kita berikhtiar lebih dan berusaha lebih.
Wallahua'lam.

August 17, 2011

AYAH


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance
Apa rasa jadi ayah? Apa rasa jadi ibu ya? Kak Ita? Apa rasa? Akhir-akhir ini ayah sering dilanda penyakit membelai. Setiap kali kami duduk di meja makan menunggu hidangan tersedia, apa beliau akan buat, belai-belai kepala adik, dan bercakap sambil nak gelak. Mana satu beliau nak buat; bercakap atau gelak pun saya kurang pasti - " dah besar dah anak ayah ni. Dulu Izah kecik je. Cuba tengok gambar yang ayah dukung Izah kat depan rumah tu. Tahun depan nak masuk asrama dah. Dah tak ada anak kecik yang nak teman umi dengan ayah kat rumah". Dia gelak. Adik tersengih-sengih. Hanya BAHAGIA yang saya nampak di raut wajah ayah. Ayah yang selalu berwajah ketat tetapi hati sensitif mengalahkan umi. Ayah yang tegas tetapi mudah dicairkan dengan sakit pening anak-anak. Ahh. Wahai Allah, terima kasih untuk kurnia yang satu ini.
Waalahua'lam.

July 30, 2011

hadiah untuk syuhadaa'


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance









Nabi Muhammad SAW pernah berkata, " Barangsiapa yang bercita-cita mati syaheed kerana Allah, nescaya akan diletakkan oleh Allah kedudukannya di tempat para syuhada' sekalipun dia mati di atas tempat tidurnya"

- Direkodkan oleh Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasai'e, dan Ibnu Majah.

Meskipun kita bukan pengangkat senjata di Palestin, Kashmir, mahupun Chechnya, pejalan kaki ke kelas kalau jatuh tergolek tersadung kucing kemudian meninggal pun syaheed juga kan?
Kalau kalian tak mahu mengiyakan, saya tetap beriman dengan itu.
Setiap langkah menuju ke medan-medan tempur, besar doa saya semoga segala dosa dihapus. Walau tahu segala pintu kejahatan di atas muka bumi ini akan terbuka seiring kita buka jendela hari di setiap pagi.




Kita ada bertimbun bebanan kerja tak tertanggung.
Sahabat, moga tabah hati, tak berbelah bagi.





wallahua'lam



orang yang lebih mengenal Tuhannya lebih lama dan ikhlas perjuangannya

July 15, 2011

kata orang, keluarga itu tempat yang aman untuk berkongsi rasa


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance









Hari itu, kami solat tanpa iringan ayah. Warga rewang yang lain sibuk merewang untuk majlis walimah sepupu saya. Dan macam biasa, ayah akan dating sama Zaid(adik) di masjid. Kata orang, ibadah seorang ibu adalah modal bagi lahirnya anak-anak yang soleh yang akan menjadi benteng bagi ibu bapanya kelak di akhirat. Risau. Ibadah umi menggunung sekalipun, mampukah saya?.

Andai kami solat diimami ayah, ada satu bait doa yang selalu mencucuk kelenjar air mata saya. Tak kira berapa kali ia diulang bacakan.
"Ya Allah, temukanlah kami sekeluarga di syurga"
Walaupun menangis perkara yang tak cool, tapi andai ia keluar dari mulut ayah atau umi, saya tak pandai simpan titisan itu.

Dan setelah banyak perkara terjadi, saya belajar, bukan semua orang punyai takdir yang baik.





wallahua'lam






alahai keluarga..

July 12, 2011

hai anak..


Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah
Salam to all those who seek His guidance



jika anak dibesarkan dengan toleransi, ia akan belajar jadi penyabar.
jika anak dibesarkan dengan dorongan, ia akan belajar percaya diri.
jika anak dibesarkan dengan pujian, ia akan belajar menghargai.
jika anak dibesarkan dengan kasih sayang dan persahabatan, ia akan terbiasa berpendirian.
saya sudah lihat produk-produk anak sebegini.

dan anda?
sudah lihat produk anak yang dibesarkan dengan tengkingan?
sudah lihat produk anak yang dibesarkan dengan tibaian?
sudah lihat produk anak yang dibesarkan dengan hinaan?
sudah lihat produk anak yang dibasarkan dengan ugutan?

saya sudah
mereka sangat kasihan.

dan anda,
produk anak yang mana?


demi syurga dan akhirat yang kita idamkan bersama keluarga kita,
saya teringin membentuk dan menjadi produk yang serba baik dan berguna.
walau tahu hidup tak pernah sempurna




wallahua'lam







begini payah kah menjadi anak?